BERRECHID, 15 Disember - Wakil Maghribi, AS FAR Rabat, mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Juara-Juara Wanita selepas mencatat kemenangan 2-1 menerusi masa tambahan ke atas kelab China, Wuhan Jiangda, dalam perlawanan suku akhir yang berlangsung pada Ahad.
Pertembungan antara juara Afrika, AS FAR (Sports Association of the Royal Armed Forces), dan juara Asia itu terpaksa ditentukan dalam masa tambahan selepas Hajar Said meledak gol penyamaan pada minit ke-89 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Wuhan Jiangda terlebih dahulu berada di hadapan apabila Wang Shuang meledak jaringan pembukaan hasil rembatan pada minit ke-28 permainan.
Namun, pada minit ke-104, Sanna Mssoudy muncul wira AS FAR apabila melepasi perangkap pertahanan lawan sebelum menyempurnakan peluang dengan sepakan lambung menewaskan penjaga gol, Chen Chen.
Kemenangan itu menyaksikan AS FAR mara ke kelompok empat terbaik edisi sulung kejohanan antara benua berkenaan dan bakal berdepan juara Eropah, Arsenal, di London pada 28 Januari depan.
Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, wakil Brazil, Corinthians, akan menentang Gotham FC yang mewakili Badan induk bola sepak bagi Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (CONCACAF).- REUTERS