KUALA LUMPUR, 15 Disember - Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan keunggulan sebagai kuasa bola sepak tempatan apabila muncul juara Piala FA 2025 buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Sabah FC dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
JDT bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi rembatan Jonathan Cristian Silva, sekali gus meletakkan pasukan Harimau Selatan di hadapan.
Tekanan berterusan menyaksikan Sabah FC dihukum apabila kapten mereka, Rawilson Batuil, tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-20 untuk menghadiahkan gol kedua kepada JDT.
Selang beberapa minit kemudian, Jairo de Macedo da Silva menambah derita Sabah FC apabila menyempurnakan peluang bagi menjadikan kedudukan 3-0 pada separuh masa pertama.
Usaha Sabah FC untuk merapatkan jurang jaringan tidak membuahkan hasil apabila gol yang dihasilkan Ajdin Mujagic dibatalkan selepas didapati berada dalam kedudukan ofsaid.
Pada babak kedua, dominasi JDT berterusan dengan Oscar Arribas meledak gol keempat pasukan itu, sekali gus mengukuhkan cengkaman ke atas perlawanan.
Pada waktu kecederaan, Manuel Federico Hidalgo Gasparini melengkapkan malam gemilang JDT dengan jaringan kelima untuk menutup tirai perlawanan dan memastikan trofi Piala FA terus menjadi milik Harimau Selatan.
Kejayaan itu mengukuhkan status JDT sebagai pasukan paling dominan dalam saingan domestik, dengan menjulang Piala FA buat kali ke lima.