KUALA LUMPUR, 12 November -Pemanah recurve wanita negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi muncul sebagai atlet keempat Malaysia yang berjaya meraih slot ke Sukan Olimpik 2024.
Ia susulan kejayaan Ariana meraih pingat emas pada Kejohanan Benua Asia di Bangkok, Thailand pada Sabtu.
Menurut Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia, Datuk Abdul Hamid Hasan, atlet berusia 18 tahun itu mengesahkan slot ke Paris selepas berjaya mara ke pentas final di Bangkok.
Lebih membanggakan apabila Ariana turut membuktikan dia berada di kelas tersendiri apabila melakar kemenangan ke atas Ziyodakhon Abdusattorova dari Uzbekistan, 7-3 untuk merangkul pingat emas acara recurve wanita 70 meter.
Berdasarkan format pertandingan, dua pemanah terbaik daripada kejohanan tersebut, layak ke Sukan Olimpik Paris.
Selain Ariana, tiga lagi atlet negara yang telah menempah slot ke Sukan Olimpik 2024 ialah atlet terjun, Bertrand Rhodict Lises, Nur Shazrin Latif (pelayaran) dan Johnathan Wong (menembak).