fb fb fb fb fb

Argentina tewaskan Croatia 3-0, mara ke peringkat akhir Piala Dunia 2022

(Para pemain Argentina meraikan kejayaan menewaskan Croatia pada perlawanan separuh akhir
Piala Dunia 2022, awal pagi tadi/ AFP)

LUSAIL, 14 Disember - Dua gol penyerang, Julian Alvarez dan sepakan penalti Lionel Messi memberikan Argentina kemenangan 3-0 ke atas naib juara 2018, Croatia pada separuh akhir Piala Dunia Qatar pada awal pagi tadi, dan akan menentang sama ada Perancis atau Maghribi pada peringkat akhir Ahad ini.

Messi meletakkan Argentina di hadapan dengan sepakan penalti pada minit ke-34 selepas penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic menjatuhkan Alvarez ketika beliau mengejar bola.

Lima minit kemudian, penyerang kelab Manchester City itu kemudiannya membawa bola sejauh 50 meter dan mengekalkan penguasaan bola melalui dua lantunan ketika pemain pertahanan cuba menepisnya dan berjaya meledak gol kedua.


(Penyerang Argentina, Julian Alvarez (no.9) menjaringkan gol ketiga setelah menerima hantaran Lionel
Messi pada perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2022 menentang Croatia, awal pagi tadi/ AFP)

Croatia, yang bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Jepun dan Brazil menerusi penentuan sepakan penalti dalam dua perlawanan sebelum ini, cuba bangkit pada separuh masa kedua tetapi hantaran kemas mereka gagal mengatasi keampuhan benteng pertahanan Argentina.

Messi kemudian menampilkan prestasi terbaiknya melalui kawalan bola yang memukau dan seterusnya melorongkan bola kepada Alvarez untuk menjaringkan gol ketiga pada minit ke-69 dan melengkapkan kemenangan pasukan Argentina. -REUTERS

Media Baharu