fb fb fb fb fb

Arab Saudi kecewa tindakan Mancini keluar padang sebelum penalti selesai

Foto AFP

DOHA, 31 Januari- Presiden bola sepak Arab Saudi berkata tindakan Roberto Mancini yang menghilangkan diri sebelum tamat penentuan sepakan penalti ketika pasukan itu tersingkir dari Piala Asia adalah "tidak boleh diterima sama sekali".

Kelibat jurulatih Itali itu tidak kelihatan ketika pemain Korea Selatan, Hwang Hee-chan menyingkirkan pasukannya dalam pusingan 16 terakhir di Stadium Education City.

Susulan keputusan seri 1-1, Korea Selatan menang 4-2 menerusi sepakan penalti pada Selasa dan akan menentang Australia pada suku akhir di Qatar.

Mancini, 59, bagaimanapun memohon maaf dan menjelaskan bahawa dia berfikir penentuan penalti itu telah selesai.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi, Yasser Al-Misehal menyatakan dengan jelas rasa tidak senangnya dalam temu bual dengan penyiar Saudi SSC.

“Tindakan keluar dari padang sama sekali tidak boleh diterima dan kami akan berbincang dengannya mengapa perkara ini berlaku."

"Beliau mempunyai hak untuk menjelaskan pandangannya dan kemudian kami akan memutuskan tindakan yang sewajarnya,” kata Yasser.

Terdahulu, Mancini membawa Itali memenangi kejuaraan Kejohanan Eropah pada 2021 dan dilantik sebagai jurulatih Arab Saudi pada Ogos tahun lalu dengan perjanjian sehingga 2027, sekali gus melepasi edisi Piala Dunia seterusnya.

Menurut laporan, Mancini ditawarkan lebih daripada $25 juta untuk menyertai Arab Saudi yang kini berbelanja besar, untuk bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia pada 2034.

"Secara teknikal, kami berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan dalam Piala Asia. Saya tidak suka terburu-buru dalam apa-apa perancangan," tambah Misehal.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM