fb fb fb fb fb

Aniq congak langkah ke Sukan Komanwel 2026

Mohamad Aniq Kasdan ketika beraksi dalam acara angkat berat lelaki kategori 61kg pada Sukan Olimpik Paris 2024. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 Jun - Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan, kini giat menjalani persiapan bagi menghadapi pusingan kelayakan Sukan Komanwel yang dijadual berlangsung pada hujung Ogos nanti di India.

Jelas Mohamad Aniq, walaupun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu, beliau tetap bersemangat dan komited menjalani latihan bagi memastikan kelayakannya ke temasya tersebut.

"Kejohanan seterusnya adalah pada hujung bulan Ogos di India, untuk kelayakan ke Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland.

"Sekarang semuanya berjalan lancar. Walaupun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, namun setakat ini saya pulih 70%. Saya juga sudah memulakan latihan sejak tiga minggu lepas. Saya harap dapat buat yang terbaik pada sesi kelayakan nanti," beliau ditemui selepas program Road To Goal (RTG) di ibu negara, hari ini.

Tambah Aniq, beliau mahu melayakkan diri secara merit kerana pemenang tempat pertama dalam kejohanan ini akan layak secara automatik ke Sukan Komanwel 2026.

Mengulas mengenai program RTG, Aniq yakin dengan usaha dan latihan berterusan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang, ia dapat membuka peluang untuk dirinya mencapai kejayaan dalam kejohananan akan datang termasuk Sukan Olimpik Los Angeles (LA28) .

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI