fb fb fb fb fb

Angkat berat penyelamat kem negara pada hari ketiga

BIRMINGHAM, 1 Ogos- Kem angkat berat muncul penyelamat pada hari ketiga Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila menghadiahkan sebutir pingat perak hari ini.

Ketika beberapa acara sukan seperti berbasikal dan renang yang menawarkan pingat gagal menjelmakan kilauan pingat, badang negara Muhammad Erry Hidayat menceriakan kontinjen negara selepas menduduki tempat kedua dalam kategori 73 kilogram (kg).

Acara angkat berat yang setakat ini menyumbangkan dua emas dan satu perak, diharap dapat terus menuai pingat buat Malaysia apabila Mohamad Nasir Roslan akan turun bersaing dalam kategori 81kg, hari ini.

Malaysia juga berpeluang menambah koleksi pingat esok apabila skuad ping pong wanita negara menempah slot ke final selepas berjaya mengatasi Wales 3-2 di peringkat separuh akhir hari ini.

Skuad kebangsaan di jadual bertemu Singapura di pentas final acara berpasukan, sekali gus menyaksikan ulangan perlawanan akhir edisi di Glasgow, lapan tahun lepas. Singapura mengecewakan Malaysia 3-0 pada final Sukan Komanwel 2014.

Saingan hari keempat juga bakal menyaksikan pasukan badminton campuran negara akan membuat perhitungan bertemu pasukan tuan rumah, England di separuh akhir dan mengikut rekod Malaysia tidak pernah gagal ke final sejak edisi 2006 di Melbourne.

Tumpuan juga bakal terarah kepada aksi atlet boling padang berpengalaman negara, Siti Zalina Ahmad, yang akan berdepan pemain Guernsey, Lucy Beere di peringkat separuh akhir acara singles wanita, pagi esok.

Muhammad Erry Hidayat

Jika Siti Zalina, 43, berjaya mengatasi cabaran Beere, pentas final akan berlangsung pada pukul 4.30 petang waktu tempatan atau 11.30 malam waktu Malaysia.

Malaysia turut mempunyai dua wakil dalam saingan suku akhir acara skuasy melibatkan pertemuan antara Rachel Arnold berdepan pemain England, Georgina Kennedy dalam perseorangan wanita, serta Ng Eain Yow berdepan Joel Makin dari Wales dalam kategori perseorangan lelaki.

Selepas berakhir hari ketiga temasya, Malaysia berada di kedudukan kelapan dengan kutipan dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

Australia mengungguli kedudukan carta pungutan pingat dengan 22 emas, 13 perak dan 17 gangsa, diikuti England 11-16-7 dan New Zealand di tempat ketiga dengan 10-5-4. -BERNAMA

Media Baharu