(Muhammad Hakimi Zulkifli raih pingat emas buat Wilayah Persekutuan di sini hari ini)
SUBANG, 18 September - Muhammad Hakimi Zulkifli meraih pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) dalam acara 50 meter (m) pistol lelaki hari ini.
Atlet debut berusia 18 tahun itu berkata minat terhadap sukan menembak tercetus sejak kecil lagi apabila selalu mengikut bapanya Zulkifli Omar, 61, ke lapang sasar.
Beliau berjaya mengumpul sebanyak 529 mata itu melayakkan Hakimi muncul juara mengatasi pesaing dua atlet dari Pahang di Lapang Sasar Nasional Subang di sini.
Hakimi yang juga anak seorang anggot polis menumpaskan cabaran Cheah Zen Hong (527 mata) dan Wan Muhamad Syafiq Wan Mustaza (526), yang masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.
“Saya memang tak jangka dapat pingat emas sebab bagi saya, saya tembak teruk dan saya fikir memang ada atlet dari Pahang yang boleh potong saya, tapi alhamdulillah dapat apa yang saya inginkan selama ini.
“Saya rasa pengorbanan saya yang perlu berjauhan dengan keluarga untuk berlatih di Cheras berbaloi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kontinjen Pahang merangkul emas dengan membidik 1,570 mata keseluruhan, hasil tembakan Cheah, Wan Muhammad Syafiq dan Muhammad Adib Abu Hassan bagi acara 50m pistol berkumpulan lelaki,
Manakala Perak yang diwakili Megat Muhammad Aliff Daniel, Ilmi Azri Abdul Razak dan Muhammad Daniel Hail meraih tempat kedua dengan 1,544 mata.
Wilayah Persekutuan pula terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas mengutip 1,530 mata menerusi Muhammad Hakimi, Abdul Haikal Abdul Aziz dan Muhammad Amir Safwan Mat Zuki.