TOKYO, 11 November - Jepun yang belum pernah melepasi pusingan 16 terbaik di Piala Dunia kini berkeyakinan tinggi untuk mara jauh pada edisi tahun depan di Amerika Utara, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Tsuneyasu Miyamoto.
Miyamoto berkata Jepun, juara Asia empat kali, memiliki pengalaman serta pemain berbakat untuk mencipta impak besar pada edisi pertama Piala Dunia 48 pasukan yang bakal berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.
Jepun menjadi pasukan pertama layak ke Piala Dunia 2026 pada Mac lalu dan bakal diperkuat barisan pemain yang beraksi di kelab gergasi Eropah, termasuk Wataru Endo di Liverpool dan Ritsu Doan di Eintracht Frankfurt.
Kemenangan bersejarah ke atas juara dunia lima kali, Brazil, dalam aksi persahabatan bulan lalu turut melonjakkan semangat mereka.
“Semua pemain kini bermain di Eropah. Mereka tahu bagaimana harus bermain menentang pasukan besar dan pemain bertaraf dunia,” kata Miyamoto, bekas kapten pasukan kebangsaan. “Keyakinan seperti ini akan menunjukkan sesuatu yang baharu kepada dunia. Tugas kami adalah membuat persiapan terbaik untuk mencapai sasaran itu.”
Sejak membuat penampilan sulung pada 1998, Jepun tidak pernah mara ke suku akhir. Tiada negara Asia pernah mara ke pusingan akhir dengan Korea Selatan menjadi pasukan paling hampir apabila layak ke separuh akhir pada tahun 2002. Jepun tersingkir di pusingan 16 pada 2002, 2010, 2018 dan 2022.
Pada edisi Qatar tiga tahun lalu, Jepun tersingkir melalui penentuan penalti kepada Croatia walaupun mencatat kemenangan dramatik ke atas Jerman dan Sepanyol pada peringkat kumpulan. Miyamoto percaya skuad kali ini sudah bersedia melepasi halangan tersebut.
“Kita perlu melepasi pusingan 16, tetapi mereka sudah ada keyakinan untuk pergi lebih jauh, mungkin sampai ke final,” katanya. “Dua puluh tahun lalu kita tak boleh sebut begitu, tapi pemain sekarang lebih berani meletakkan sasaran tinggi.”
Jurulatih Hajime Moriyasu pula berpandangan Jepun mungkin belum bersedia untuk menjadi juara dunia, namun tidak menolak kemungkinan mara ke final berdasarkan prestasi semasa skuad itu. Skuad 2026 dijangka mengandungi sekurang-kurangnya 10 pemain yang beraksi pada edisi 2022.
“Pengalaman yang dikumpul di Qatar sangat penting untuk membawa pasukan ke tahap seterusnya,” kata Miyamoto. “Pemain lama dapat berkongsi pengalaman itu dengan pemain baharu. Beban dan tekanan dalam kejohanan besar boleh dikongsi bersama.”-REUTERS