MANCHESTER, 31 Ogos - Pengendali Manchester United, Ruben Amorim menafikan mahu meninggalkan Old Trafford walaupun kenyataannya selepas kalah mengejut kepada Grimsby Town dalam saingan Piala Liga minggu lalu.
Amorim, 40, mengakui emosinya menguasai diri selepas perlawanan berkenaan namun menegaskan fokus kini kembali kepada aksi Liga Perdana Inggeris menentang Burnley.
“Kadang-kadang saya rasa mahu berhenti, kadang-kadang saya mahu berada di sini untuk 20 tahun. Kadang-kadang saya suka bersama pemain, kadang-kadang saya tidak mahu bersama mereka. Selepas perlawanan itu saya memang rasa mahu berhenti, tapi sekarang tidak lagi,” katanya.
United hanya mengutip satu mata daripada dua aksi liga musim ini selain dimalukan Grimsby di Piala Liga, sekali gus menambah tekanan terhadap Amorim.
Jurulatih Portugal itu turut menafikan laporan pemain muda, Kobbie Mainoo mahu keluar secara pinjaman, sebaliknya menegaskan beliau masih memerlukan khidmat tonggak akademi tersebut.
“Saya mahu Kobbie kekal. Dia perlu lawan untuk tempatnya. Saya faham ada pemain kecewa bila tidak diturunkan, tapi semua akan dapat peluang sama,” jelasnya. - REUTERS