fb fb fb fb fb

Alonso akui ‘kualiti’ Wirtz bantu beliau peroleh jawatan pengurus Real Madrid

Pengurus Real Madrid, Xabi Alonso/ AFP

UNITED KINGDOM, 4 November – Pengurus Real Madrid, Xabi Alonso, mengakui kejayaan luar biasa bersama Florian Wirtz di Bayer Leverkusen antara faktor utama yang membuka jalan buatnya dilantik sebagai ketua jurulatih kelab gergasi Sepanyol itu.

Alonso dan Wirtz mencipta sejarah pada musim 2023/24 apabila menamatkan dominasi Bayern Munich di Bundesliga serta menjulang kejuaraan liga dan Piala Jerman tanpa tewas sepanjang musim.

Kejayaan itu menjadikan Alonso pilihan utama untuk menggantikan Carlo Ancelotti di Santiago Bernabeu awal tahun ini.

Wirtz kemudiannya menolak tawaran Bayern Munich dan berhijrah ke Liverpool dengan nilai perpindahan £100 juta pada Jun lalu. Namun, pemain berusia 22 tahun itu masih bergelut menyesuaikan diri dengan corak fizikal bola sepak Liga Perdana Inggeris.

Setakat ini, Wirtz masih belum menjaringkan gol untuk The Reds dan telah diketepikan ke bangku simpanan dalam tiga daripada empat perlawanan terakhir liga.

Alonso dan bekas anak didiknya itu akan bertemu semula, kali pertama sebagai lawan apabila Real Madrid bertandang ke Anfield bagi aksi Liga Juara-Juara Eropah pada Selasa.

“Saya tiada keraguan, ia cuma soal masa,” kata Alonso, yang pernah beraksi untuk Liverpool antara 2004 hingga 2009.

“Ia perubahan besar untuknya selepas sekian lama di Jerman. Dia perlu menyesuaikan diri, tetapi dia pemain yang sangat istimewa.

“Dia ada kualiti, keperibadian dan semangat juang yang tinggi. Saya tidak ragu dengannya. Wirtz adalah salah satu sebab saya berada di sini. Saya berterima kasih kepadanya, cuma harap bukan esok, dia pasti akan tunjukkan kelas dan kehebatannya.”

Sementara itu, Alonso turut memaklumkan perkembangan terkini mengenai Trent Alexander-Arnold, yang berpindah dari Liverpool ke Real Madrid pada musim panas lalu.

Pemain antarabangsa England itu belum kembali ke aksi kompetitif sepenuhnya sejak dua bulan lalu akibat kecederaan hamstring dan kini menghadapi saingan daripada Federico Valverde, yang sering diturunkan di posisi bek kanan.

“Trent memiliki kualiti luar biasa. Ini fasa baharu baginya, bukan sahaja dari segi permainan, tetapi juga fizikal dan mental. Kami mahu membantunya mencapai tahap terbaik kerana dia pemain yang benar-benar istimewa,” kata Alonso.

Real Madrid kini antara lima pasukan dengan rekod sempurna selepas tiga perlawanan Liga Juara-Juara, manakala Liverpool berada di tangga ke-10 daripada 36 pasukan, tiga mata di belakang pendahulu. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN