BIRMINGHAM, 14 Mac- Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia berjaya mara ke pusingan 16 terbaik bagi Kejohanan Terbuka All England 2024.
Zii Jia berjaya mengetepikan cabaran wakil Jepun, Kodai Naraoka yang juga pilihan keenam kejohanan dalam aksi 'straight sets'.
Pada set pertama, pemain di ranking ke-10 dunia itu tampil garang apabila berjaya menjarakkan lima mata dengan Naraoka, sebelum menang 21-12.
Aksi di set kedua menyaksikan kedua-dua pemain mempamerkan aksi seimbang, apabila saling bertukar mata sehingga mata ke-11.
Bagaimanapun, kawalan gelanggang yang dipamerkan Zii Jia memberikan kelebihan buatnya untuk menang 21-19.
Keputusan itu sekali gus memberi kelegaan kepada Zii Jia yang cuba bangkit memperbaiki prestasinya pada kejohananan antarabangsa.
Selepas ini, Zii Jia akan bertemu wakil dari Singapura, Loh Kean Yew.
Sementara itu, beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut mara ke pusingan seterusnya.
Mereka terpaksa berhempas-pulas sebelum menewaskan pasangan Thailand, Sapsiree Taerattanachai dan Dechapol Puavaranukroh, 2-1.
Gandingan negara bermula baik dengan menguasai set permulaan 21-14.
Bagaimanapun, beregu Thailand itu tampil bangkit di set kedua dengan 21-12.
Memasuki set penentuan, Tang Jie- Ee Wei kembali mencari rentak memburu kemenangan, dengan keputusan 21-15.
Wakil Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet menanti mereka untuk aksi yang kedua.