SYDNEY, 10 September – Pemain tenis nombor lapan dunia, Alex de Minaur menyuarakan hasratnya untuk menjulang Piala Davis bersama skuad Australia.
Ia disuarakannya ketika melihat potensi barisan para pemain yang memiliki kekuatan setara dengan pasukan negara lain bagi menamatkan penantian gelaran juara sejak tahun 2003.
“Bagi saya, ini adalah matlamat utama dalam karier. Sebab itulah saya sentiasa utamakan minggu Piala Davis, tidak kira di mana kedudukannya dalam jadual,” kata De Minaur yang bakal mengetuai cabaran Australia menentang Belgium dalam aksi kelayakan kedua di Arena Ken Rosewall hujung minggu ini.
Australia merupakan pasukan kedua paling berjaya dalam sejarah Piala Davis dengan 28 kejuaraan, namun kali terakhir mereka meraih trofi tersebut adalah lebih dua dekad lalu.
Dalam tiga edisi terakhir, mereka muncul naib juara dua kali dan terkandas di separuh akhir tahun lalu kepada Itali yang diketuai Jannik Sinner.
Skuad kendalian Lleyton Hewitt akan menurunkan Alexei Popyrin dalam acara perseorangan bersama De Minaur, manakala Jordan Thompson dan Matthew Ebden menjadi sandaran dalam acara beregu. Belgium pula diketuai pemain ranking ke-46 dunia, Zizou Bergs.
Pusingan akhir Piala Davis 2025 akan berlangsung di Itali pada November ini, dengan tujuh pasukan pemenang kelayakan bakal menyertai tuan rumah di pentas akhir.
