NEW YORK, 8 September - Carloz Alcaraz kembali memintas ranking nombor satu dunia perseorangan selepas meraih gelaran tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2025.
Dia berjaya menundukkan wakil Itali, Jannik Sinner 6-2, 3-6, 6-1 dan 6-4 di pentas akhir, sekali gus mengukuhkan cengkaman persaingan sengit antara kedua-dua pemain berkenaan.
Gelaran kedua Alcaraz di New York itu melonjakkan dia kembali ke kedudukan nombor satu dalam ranking dunia dan merampas kembali takhta itu daripada Sinner.
Lebih manis, kemenangan itu menyaksikan Alcaraz berjaya mengumpul enam trofi Grand Slam.
Dalam aksi di Stadium Arthur Ashe di sini, pemain berusia 22 tahun itu menguasai set pertama dengan cemerlang.
Bagaimanapun Sinner kemudian bangkit menggandakan asakan dan hasilnya set kedua berjaya ditawan 3-6 ketika beraksi di hadapan Presiden Donald Trump yang turut hadir sebagai penonton.
Enggan berputus asa mengulangi kejayaan di Flushing Meadows pada 2022, Alcaraz melangkah dengan kelebihan 5-0 di set terakhir sebelum melengkapkan kemenangan dengan pukulan padu.
Keputusan itu menyaksikan Sinner sekali lagi tewas dalam aksi Grand Slam menentang Alcaraz musim ini selepas kali terakhir ditundukkan pada Terbuka Perancis Jun lalu. - REUTERS
