fb fb fb fb fb

Alcaraz, Draper dan Bautista Agut mara ke separuh akhir Queen’s Club

Pemain Sepanyol, Carlos Alcaraz / REUTERS

LONDON, 21 Jun- Pemain pilihan utama, Carlos Alcaraz, mara ke separuh akhir kejohanan ATP 500 Queen’s Club selepas menewaskan pemain Perancis, Arthur Rinderknech 7-5, 6-4 dalam aksi suku akhir pada Jumaat.

Juara Wimbledon itu tidak berdepan banyak masalah, berbanding aksi terdahulu menentang Jaume Munar yang menyaksikan beliau bertarung hampir tiga jam dalam cuaca panas terik.

Pada perlawanan kali ini, Alcaraz tampil lebih kemas, menyempurnakan kedua-dua peluang break point yang dimilikinya dan kini mencatat kemenangan ke-16 berturut-turut, yang terbaik dalam kariernya setakat ini.

Di separuh akhir, pemain berusia 22 tahun itu akan berdepan rakan senegara, Roberto Bautista Agut, yang menyingkirkan pilihan keempat dari Denmark, Holger Rune dalam perlawanan tiga set: 7-6(5), 6-7(4), 6-2.

Pemain berusia 37 tahun itu mencatat kemenangan sulungnya ke atas Rune dalam empat pertemuan, selepas mematahkan servis lawannya dua kali dalam set penentuan. Rune gagal mencipta sebarang break point sepanjang perlawanan, namun menyelamatkan 12 daripada 14 break point untuk memaksa permainan ke set ketiga.

Dalam aksi lain, wakil tuan rumah Jack Draper terus memperkukuh persiapan ke Wimbledon apabila mara ke separuh akhir pertamanya di Queen’s Club, selepas menewaskan pemain Amerika Syarikat, Brandon Nakashima 6-4, 5-7, 6-4.

Kemenangan itu turut memastikan pemain berusia 23 tahun tersebut memperoleh status pilihan keempat di Wimbledon nanti, menjadikannya antara sandaran utama kempen tuan rumah.

Draper yang bermain di gelanggang utama, Andy Murray Arena, menghadapi tentangan sengit dalam cuaca panas tetapi kembali menguasai permainan di set penentuan. Beliau melakukan pukulan forehand padu untuk mencuri servis Nakashima pada game ketujuh, sebelum mengekalkan ketenangan dan menamatkan perlawanan walaupun berdepan break point ketika berkhidmat untuk kemenangan pada kedudukan 5-4.

Draper dijadual bertemu wakil Republik Czech, Jiri Lehecka, yang terdahulu menewaskan seorang lagi pemain tuan rumah, Jacob Fearnley 7-5, 6-2.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE