NASHVILLE, 21 Jun- Youcef Belaili muncul wira ES Tunis apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-70, untuk membantu pasukan Tunisia itu mencatat kemenangan penting 1-0 ke atas Los Angeles FC dalam aksi Kumpulan D Piala Dunia Kelab.
Kemenangan dramatik itu menyaksikan ES Tunis kini mengumpul tiga mata, menyamai kutipan mata Chelsea yang terdahulu tewas 1-3 kepada Flamengo. LAFC pula sah tersingkir selepas dua kekalahan berturut-turut.
Perlawanan yang berlangsung di Nashville itu menyaksikan detik mendebarkan di masa kecederaan, apabila pengadil Espen Eskas memberikan sepakan penalti kepada LAFC selepas meneliti semakan video, mendapati Khalil Guenichi menjatuhkan Marlon dalam kotak penalti.
Namun sepakan penalti yang diambil Denis Bouanga berjaya diselamatkan Ben Said, yang membaca arah sepakan dan menepis keluar bola menggunakan kaki kirinya, sekali gus mengekalkan kelebihan satu gol hingga tamat perlawanan.
Gol kemenangan ES Tunis hadir selepas gerakan solo Amine Ben Hamida dari tengah padang yang berjaya merobek pertahanan LAFC. Selepas ditepis lawan, bola muntah disambar pantas oleh Belaïli yang menyudahkan peluang dengan rembatan rendah menewaskan Hugo Lloris.
Sebelum itu, ES Tunis turut berdepan kontroversi apabila sepakan penalti yang pada awalnya dijangka berpihak kepada mereka ditarik balik selepas semakan VAR. Belaili yang didakwa sengaja menjatuhkan diri turut dikenakan kad kuning kerana cubaan menipu pengadil.
Walaupun insiden tersebut sedikit mencemaskan, momentum tetap berpihak kepada wakil Afrika Utara itu yang dilihat lebih dominan dan tidak membenarkan LAFC melakukan sebarang percubaan tepat sehingga ke minit akhir perlawanan.
Kini, pertembungan terakhir kumpulan antara ES Tunis dan Chelsea yang dijadual berlangsung Selasa ini di Philadelphia bakal menjadi penentu tempat ke pusingan kalah mati. Chelsea hanya perlu seri untuk mara berdasarkan kelebihan perbezaan jaringan.-REUTERS