fb fb fb fb fb

Al Ain pecat Hernan Crespo

Hernan Crespo / FOTO AFP

DUBAI, 7 November- Hernan Crespo telah dipecat sebagai jurulatih Al Ain, hanya enam bulan selepas membantu pasukan menjulang kejuaraan di Liga Juara-Juara AFC.

Pemecatan bekas penyerang Argentina itu berlaku sehari selepas kekalahan 5-1 di tangan Al Nassr yang diketuai Cristiano Ronaldo dalam pertandingan kelab tertinggi Asia, menyebabkan Al Ain, juara bertahan, berada di tangga tercorot pada pertengahan saingan peringkat kumpulan.

Prestasi terkini yang tidak memuaskan hati pengurusan menjadi alasan yang dinyatakan dalam kenyataan kelab pada hari Rabu, sambil menambah mereka akan melantik pengganti dalam masa beberapa jam.

Crespo, 49, mula mengendalikan pasukan pada November tahun lepas dan pada bulan Mei, beliau berjaya membawa Al Ain meraih kemenangan ke atas Yokohama F. Marinos dari Jepun dalam perlawanan akhir dua peringkat Liga Juara-Juara.

Namun, sejak akhir September, prestasi Al Ain merosot dengan kekalahan besar kepada pasukan dari Arab Saudi pada Selasa menjadi titik terakhir yang memaksa tindakan pemecatan diambil. Dalam perlawanan itu, Ronaldo turut menjaringkan satu gol.

Al Ain kini berada di kedudukan terbawah dalam zon barat AFC Champions League atau kini dikenali sebagai Champions League Elite, dengan hanya satu mata daripada empat perlawanan.

Selain itu, mereka juga mengalami permulaan yang buruk dalam kempen UAE Pro League, berada di tangga kelapan daripada 14 pasukan, dengan lapan mata daripada lima perlawanan, ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu liga, Shabab Al Ahli.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE