fb fb fb fb fb

Aksi pramusim lawan Arsenal cabaran besar pertama Spurs

Pengurus baharu Tottenham Hotspur, Thomas Frank/Foto REUTERS

HONG KONG, 30 Julai - Pengurus baharu Tottenham Hotspur, Thomas Frank, menyifatkan perlawanan pramusim menentang Arsenal di Hong Kong pada Khamis ini sebagai “cabaran besar pertamanya” sejak mengambil alih jawatan.

Beliau turut menegaskan perlawanan itu akan menjadi “lebih daripada sekadar perlawanan persahabatan”.

Pertembungan tersebut merupakan Derbi London Utara pertama di luar United Kingdom (UK), dan akan berlangsung di Stadium Kai Tak yang berkapasiti 50,000 tempat duduk.

“Ini satu cabaran hebat. Selain menjadi seteru utama kami, ia juga derbi pertama di luar UK, malangnya mereka adalah salah satu pasukan terbaik dunia,” kata Frank kepada media.

“Menentang Arsenal bukan sekadar aksi persahabatan. Kami akan lakukan segala-galanya untuk menang," tambahnya.

Frank mengambil alih tugas bulan lalu menggantikan Ange Postecoglou, yang dipecat meskipun membawa Spurs menjuarai Liga Europa dan menamatkan kemarau trofi selama 17 tahun.

Tottenham turut mengukuhkan skuad dengan pembelian Mohammed Kudus dari West Ham bernilai AS$74 juta, walaupun cubaan untuk mendapatkan Morgan Gibbs-White dari Nottingham Forest masih gagal.

“Kami sentiasa berbincang mengenai perpindahan pemain, tetapi itu sesuatu yang saya lebih suka rahsiakan.

“Secara umum saya gembira dengan skuad sedia ada, namun kami sedar di mana perlu ditambah baik," ” ujar Frank. - AFP

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI