KUALA LUMPUR, 29 Julai - Pengendali Universiti Malaya Damansara United (UMD United), Ridzuan Abu Shah menyifatkan undian menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada pusingan 16 terbaik Piala FA sebagai satu penghormatan besar buat pasukannya.
Beliau berkata, pertemuan menentang juara bertahan itu merupakan peluang terbaik untuk pemain, terutama tonggak muda dan muka baharu, menimba pengalaman berharga sebelum beraksi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro.
"Istilah 'takut' dalam membawa pasukan bola sepak tidak pernah wujud dalam diri kami. Apa sahaja yang kami ada, itulah yang akan kami gunakan.
Namun, kami sedar akan kemampuan sendiri. Tahun ini, kami hanya mampu mengambil tiga pemain import, selain beberapa pemain dari Liga Super dan selebihnya pelajar universiti," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain UMD United di sini, hari ini.
Majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain UMD United / Foto BERNAMA
Dalam undian yang berlangsung pada Isnin, UMD United dijadual menentang JDT, manakala Selangor FC akan berdepan Malaysia University FT (MUFT) di pusingan 16 terbaik Piala FA.
Mengulas lanjut persiapan pasukan, beliau berkata, seramai 28 pemain telah didaftarkan termasuk tiga pemain import sebagai persediaan menghadapi perlawanan tersebut.
Pasukan turut diperkuat dengan beberapa pemain berpengalaman dari Liga Super serta pemain dari Universiti Malaya (UM).
Beliau meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan musim ini dalam kelompok empat terbaik, sempena penampilan sulung mereka dalam Liga A1 Semi-Pro.