(Kapten Korea Selatan Son Heung-min menangis kegembiraan selepas pasukannya menewaskan
Portugal 2-1 sekali gus layak ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia/FOTO IHSAN AFP)
DOHA, 3 Disember- Kapten Korea Selatan, Son Heung-min berkata dia menangis kegembiraan selepas pasukannya menewaskan Portugal 2-1 dan mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia.
Wakil Asia itu begitu hampir tersingkir dalam saimngan Piala Dunia kali ini namun jaringan kemenangan minit ke-91 Hwang Hee-chan melonjak Korea Selatan ke tangga kedua Kumpulan H, di belakang Portugal.
Bagaimanapun mereka terpaksa menunggu beberapa minit selepas permainan untuk menanti keputusan perlawanan antara Uruguay dan Ghana.
Uruguay menewaskan Ghana 2-0 tetapi gagal mencari gol tambahan untuk kembali memintas Korea Selatan di tangga kedua.
"Saya yakin air mata ini adalah air mata gembira.
"Kami menunggu saat ini sejak sekian lama dan sebagai pemain kami percaya kami mampu melakukannya.
"Memang ada ketika saya rasa tidak mampu untuk memberikan yang terbaik tetapi saya berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana membantu apabila saya gagal menyempurnakan tugas saya, mereka selalu menjadi tulang belakang" kata Heung-min.
Korea Selatan, yang tersingkir di peringkat kumpulan pada edisi 2014 dan 2018, kini mara ke pusingan kalah mati buat kali ketiga sepanjang beraksi di Piala Dunia.
Jika Brazil muncul juara kumpulan, mereka akan bertemu Korea Selatan pada pusingan seterusnya.
(Kapten Korea Selatan Son Heung-min menangis kegembiraan selepas pasukannya menewaskan Portugal 2-1
sekali gus layak ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia/FOTO IHSAN FIFA)
"Mara ke pusingan 16 adalah sasaran kami dan kini kami mempunyai sasaran lebih tinggi dan akan cuba mencapainya.
"Jika kami berpeluang menewaskan Brazil, kami akan melakukan yang terbaik dan membuat persediaan," katanya.
"Tiada siapa yang dapat meneka kesudahan sesuatu permainan terutama bola sepak.- AFP