fb fb fb fb fb

Ahmad Azriq juara Boling Terbuka Sarawak 2024

Datuk Seri Abdul Karim bergambar kenangan bersama pemenang dan dif jemputan

KUCHING, 16 Jun- Kejohanan Tenpin Bowling Terbuka Sarawak, SIOTBC 2024 melabuhkan tirainya semalam menyaksikan pemain daripada program podium kebangsaan, Ahmad Azriq Izamuddin muncul juara.

Pada aksi akhir yang berlangsung di Megalanes Batu Kawa di Kuching, Ahmad Azriq menewaskan Jonovan Neo Ze Min dari Kelab Trinity Singapura dengan pungutan 192 berbanding 174 jatuhan pin dalam sesi 'last man standing'.

Selaku juara, Ahmad Azriq membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM20,000 serta piala manakala Jonovan berpuas hati dengan RM10,000 serta piala.

Sementara itu, seorang lagi atlet daripada program podium, Muhammad Syazirol Shamsuddin di kedudukan ketiga dengan 170 jatuhan pin.

Majlis Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Seramai 669 pemain tempatan dan antarabangsa termasuk dari Jepun, Oman, Korea Selatan, Singapura dan Thailand menyertai SIOTBC 2024 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM162.00 menerusi beberapa kategori yang dipertandingkan.

Terdahulu dalam ucapannya, Datuk Seri Abdul Karim menyatakan edisi kali ini pastinya akan meningkatkan semangat pemain boling tempatan yang memberi inspirasi untuk menjadi juara dunia seterusnya.

Pada masa sama beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan badan korporat yang telah menyumbang kepada kejayaan penganjuran kejohanan yang menjadi bukti komitmen Sarawak dalam mengadakan acara bertaraf dunia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE