fb fb fb fb fb

ACLE: JDT perlu elak kesilapan jika mahu mara ke suku akhir

Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio / Foto RTM

ISKANDAR PUTERI, 10 Mac- Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui dia kini dalam dilema untuk menentukan kesebelasan utama menjelang aksi kedua pusingan 16, Liga Juara Asia Elite (ACLE) menentang Buriram United pada Selasa di sini.

Jelasnya, skuad Harimau Selatan itu mempunyai barisan skuad pemain terbaik pada setiap perlawanan.

"Sukar bagi saya untuk memilih pemain untuk perlawanan esok, kerana kami sentiasa mempunyai barisan pemain yang baik, jadi saya akan ambil masa dan memilih pemain untuk beraksi, pada saat – saat akhir.

"Saya gembira dengan pasukan ini, mereka semua mempunyai skill dan kualiti, baik, selain berpengalaman", katanya ketika sidang media praperlawanan hari ini.

Selain itu, Bidoglio turut menggesa agar para pemainnya tidak membuat sebarang kesilapan bagi menjamin kemenangan pasukan berkenaan.

Sementara itu, pemain pertahanan JDT, Matthew Davies melahirkan keyakinan bahawa pasukannya bakal melakukan kejutan di laman sendiri.

"Saya rasa Buriram United adalah pasukan yang baik, tetapi dalam masa sama, kami yakin dengan pendekatan digunakan JDT, serta falsafah kelab ini, dan peluang untuk bermain di hadapan 35,000 penyokong di Stadium Sultan Ibrahim, memberi situasi yang sangat berbeza berbanding semasa perlawanan di Chang Arena minggu lepas", katanya di sini.

Dalam pada itu, Ketua jurulatih Buriram United, Osmar Loss Viera menjelaskan pasukannya berkemungkinan melakukan sedikit perubahan taktikal menentang JDT.

"Rentak permainan kami adalah lebih perlahan daripada kebiasaan, kerana kami cuba membina rentak dan mendapatkan kelebihan pada awal permainan,

"Jadi bagi perlawanan malam esok, kami perlu bersedia untuk menyesuaikan diri, sekiranya rentak permainan berubah", katanya.

Sekiranya menang pada perlawanan pusingan kedua, malam esok, JDT akan menempah tiket untuk mara ke pusingan suku akhir ACLE.

Perlawanan pertama di Stadium Chang Arena, Thailand, pada 5 Mac lalu, menyaksikan kedua – dua pasukan seri 0-0.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD