KUCHING, 10 Mac- Seramai 148 pemain tenis muda dari 23 negara bertarung di Kuching minggu ini untuk merebut dua slot ke Pusingan Pra Kelayakan Piala Davis Junior Asia/Oceania 2025 di Kazakhstan, Mei depan.
Antara negara yang mengambil bahagian ialah Iraq, Indonesia, Arab Saudi, Kuwait, Singapura, Macau, Filipina, dan Vietnam. Pertandingan berlangsung di Pusat Tenis Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) dan akan berakhir pada Sabtu ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak berbesar hati menjadi tuan rumah acara ini, yang bukan sekadar pertandingan, tetapi simbol semangat kesukanan, perpaduan, dan dedikasi atlet muda.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis perasmian kejohanan di Kuching, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu, Presiden SLTA, Datuk Patrick Liew, dan wakil Persekutuan Tenis Antarabangsa, Jonathan Stubbs.