fb fb fb fb fb

Sukan Komanwel 2030, Australia tidak bercadang bida tuan rumah

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Sukan Komanwel Australia, Craig Phillips/Reuters

SYDNEY, 11 Mac- Australia dijangka tidak akan membida untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2030.

Menurut seorang pegawai tertinggi, ia susulan acara tersebut terlalu hampir dengan penganjuran Sukan Olimpik Musim Panas di Brisbane, dua tahun kemudian.

Bandar Glasgow di Scotland akan menganjurkan versi ringkas temasya sukan itu tahun depan dan pihak penganjur kini mencari minat untuk edisi ulang tahun ke-100 acara sukan pelbagai negara bekas tanah jajahan British pada 2030.

“Secara realistik, tahun 2030 bukan dalam radar kami. Jika ada kerajaan yang tampil dan berkata, 'Kami mahu lakukannya', kami pasti akan berbincang dengan mereka tetapi kami sebenarnya tidak begitu mengejarnya.

“Kami berpendapat '30 agak terlalu hampir apabila melihat kepada keperluan rakan kongsi komersial dan pelbagai peringkat kerajaan. Ia menjadi sedikit mencabar dengan Sukan Olimpik dan Paralimpik yang bakal tiba,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Sukan Komanwel Australia, Craig Phillips kepada Australian Associated Press.

Sukan Komanwel 2026 sepatutnya berlangsung di Victoria, tetapi negeri di Australia itu menarik diri pada 2022 akibat kos yang semakin meningkat.

Ia merupakan kali kedua berturut-turut tuan rumah asal tidak dapat menganjurkan acara itu selepas bandar Durban di Afrika Selatan digantikan oleh Birmingham, England pada edisi 2022, berikutan masalah kewangan.

Australia telah menjadi tuan rumah bagi Sukan Komanwel sebanyak dua kali pada abad ini dan mendominasi kutipan pingat di setiap edisi sejak 1990, kecuali pada 2014 apabila England muncul juara di Glasgow.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM