fb fb fb fb fb

ACLE: JDT 'jinakkan' Pohang Steelers 5-2, mara ke pusingan 16

Pemain JDT, Arif Aiman meraikan jaringan dengan rakan-rakan ketika menentang Pohang Steelers FC pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim hari ini/BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 18 Februari- Johor Darul Ta'zim (JDT) mengakhiri saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di kedudukan selesa.

Ini selepas skuad Harimau Selatan itu membenam Pohang Steelers FC, 5-2, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi. 

Kemenangan ke atas pasukan Korea Selatan itu menyaksikan JDT berada ditempat keempat, daripada lapan pasukan yang mara ke pusingan 16.

Pohang Steelers FC terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-27, dengan tandukan Lee Hojae, sebaik menyambut hantaran tinggi Jorge Luiz.

10 minit kemudian, tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan apabila Oscar Arribas mudah menampan masuk bola muntah penjaga gol, susulan tandukan Bergson Da Silva.

Babak kedua, JDT mendahului pada minit ke-52, apabila Bergson Da Silva meledak gol di hadapan gawang, sejurus menyambut hantaran Jonathan Viera.

Empat minit kemudian, kesilapan penjaga gol Pohang Steelers FC yang melepaskan bola kepada Ariff Aiman Hanapi dihukum, apabila penyerang sensasi itu mudah menyempurnakan gol ketiga JDT.

Minit ke-80, Pohang Steelers FC mengejutkan tuan rumah selepas Kang Hyeonje menyudahkan hantaran Hong Yun-Sang, untuk gol kedua pasukan pelawat. 

Namun, JDT kembali menjarakkan kedudukan menerusi gol Jesse Rodriguez, dalam situasi satu-lawan-satu di kawasan kotak penalti, pada masa tambahan. 

Derita pasukan pelawat terus ditambah, apabila jaringan penalti Jorge Obregon, melengkapkan kemenangan buat JDT.

Kemenangan itu membolehkan skuad Harimau Selatan mengutip keseluruhan 14 mata, untuk berada ditangga ke-4 kumpulan Asia Timur. 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM