KUALA LUMPUR, 29 November - Hasrat Selangor FC mengutip tiga mata sebagai bekalan melangkah awal ke pusingan 16 Liga Juara Asia (ACL) Dua 2024/2025, tidak kesampaian.
Skuad Merah Kuning tewas 1-2 kepada kelab Thailand, Muangthong United, malam tadi.
Kekalahan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu menyaksikan Selangor turun satu anak tangga ke posisi ketiga, mengumpul tujuh mata, satu mata di belakang Muangthong yang naik ke tangga kedua.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan H, wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors kekal di tangga teratas, selepas membelasah Dynamic Herb Cebu, 4-0.
Selangor kini wajib menang ke atas wakil Filipina Dynamic Herb Cebu FC pada aksi pelengkap kumpulan 5 Disember ini.
Dalam masa sama, Selangor FC perlu mengharapkan ‘ihsan’ keputusan pasukan lain untuk mengesahkan slot pusingan kalah mati.
Terdahulu, babak pertama menyaksikan Selangor bermula garang memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Quentin Cheng.
Bersambung babak kedua, giliran Muangthong mempamerkan aksi agresif sekali gus menyamakan kedudukan menerusi Felicio Brown Forbes pada minit ke-53 sebelum Poramet Arjvirai melengkapkan gol kedua pasukannya pada minit ke-76.