KUALA LUMPUR, 23 April - Johor Darul Takzim (JDT) berjaya menangkis jangkaan negatif dari peminat serta pemerhati bola sepak tanah air yang tidak yakin dengan kemampuan mereka untuk mengharungi Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.
Ia dibuktikan dengan kejayaan anak buah Benjamin Mora menjinakkan dua kelab elit Asia iaitu Ulsan Hyundai dan Guangzhou FC, selain berjaya mengikat keputusan seri ketika menentang kelab terbaik Asia, Kawasaki Frontale.
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata, prestasi cemerlang yang ditampilkan oleh JDT kali ini merupakan hasil empat tahun 'menimba pengalaman' di pentas terbesar Asia itu.
Jelasnya, bahagian tengah dan serangan JDT benar-benar menyerlah hasil aksi memukau ditampikan pemain import termasuk Natxo Insa, Bergson Da Silva dan Fernando Forrestieri.
Sebanyak 28 percubaan ke gawang Guangzhou FC, manakala sembilan percubaan menentang Ulsan Hyundai, dan lapan ketika menentang Kawasaki Frontale sudah cukup membuktikan ketajaman serangan skuad Harimau Selatan.
"Apa yang dilihat, strategi permainan yang dipamerkan oleh JDT berkesan berdasarkan keperluan-keperluan lawan yang mereka hadapi. Mereka mengubah taktik permainan dengan baik dan dapat mengekang serangan lawan akhirnya mereka menguasai bahagian tengah.
"Mereka juga mengesploitasi kelemahan-kelemahan pasukan lawan dan setiap pemain memahami maklumat-maklumat diberikan oleh persembahan analisis pasukan mereka," katanya ketika dihubungi RTM.
(FOTO Facebook JDT)
Namun bagi beliau, skuad kendalian Benjamin Mora harus mengekalkan aksi konsisten berbaki tiga lagi perlawanan untuk mengukuhkan lagi kutipan mata.
JDT kini gah menghuni kedudukan teratas kumpulan I dengan tujuh mata, diikuti Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai yang masing-masing memungut lima dan empat mata.
Analisis ini disediakan oleh wartawan meja sukan Tuan Ikram Tuan Muhamad.