KUCHING, 14 Februari- Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Kahim Rahman Hamzah dalam satu sidang media di Kuching hari ini mempersoal usaha Persekutuan Renang Malaysia (MAS) dalam membangunkan barisan pelapis atlet-atlet sukan akuatik yang setanding dengan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong.
Bercakap kepada pemberita di pejabatnya hari ini, beliau memberitahu, Pandelela Rinong sudah banyak menyumbang kepada negara dalam arena sukan akuatik antarabangsa melebihi satu dekad, sehingga berjaya memperolehi pingat untuk Malaysia di dua temasya sukan olimpik.
Justeru, beliau amat terkilan dengan kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung MAS, Andy Low baru-baru ini yang seolah-olah menyindir kegagalan seorang atlet yang telah berulang kali mengharumkan nama negara di peringkat dunia.
"Komen dia (Andy Low) bagi saya tidak berapa manis, saya pun tidak berapa mengenali dia, tetapi persoalan besarnya seperti yang disebut oleh Pandelela sendiri mengenai kebimbangannya terhadap sukan terjun yang kekurangan pelapis.
"Apa yang Andy Low dan MAS buat untuk ramaikan pelapis? Kalau Pandelela masih lagi berkhidmat selama 10-15 tahun, maknanya persatuan juga tidak 'buat kerja',"katanya.
Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah juga berkata, Sarawak sentiasa terbuka dengan apa jua keputusan dan hala tuju ratu terjun negara itu, manakala Sarawak akan terus fokus dalam melahirkan lebih ramai pelapis atlet sukan akuatik bertaraf dunia.