fb fb fb fb fb

ABATA bantu perkasa sukan angkat berat Perlis

Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya (tengah) pada Majlis Penyerahan Sumbangan ABATA kepada Persatuan Angkat Berat Perlis di Dewan Pertubuhan Anak Yatim Mak Teh, Kangar

KANGAR, 18 Mei- Pertubuhan Abata Sukan Rekreasi (ABATA) mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan peralatan angkat berat bernilai RM49,000 bagi memperkasakan sukan angkat berat di Perlis, susulan pencapaian cemerlang atlet negeri itu dalam SUKMA 2024 di Sarawak serta Kejohanan Asian Weightlifting Championship 2025 di China.

Usaha itu bertujuan mengukuhkan pembangunan sukan angkat berat di peringkat akar umbi supaya atlet Perlis terus mencipta kejayaan gemilang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Penaung ABATA, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, sumbangan tersebut merupakan langkah penting dalam pembangunan sukan yang dilihat sebagai prospek pingat emas untuk negeri tersebut.

“Saya tertarik dengan model yang dilaksanakan oleh Persatuan Angkat Berat Perlis, yang mencari bakat dari kalangan anak-anak kampung berlatarbelakangkan pelbagai latar belakang untuk dilatih mewakili negeri.

"Oleh itu, saya mengambil serius perkara ini dan membantu menyalurkan sumbangan peralatan demi masa depan atlet kita tanpa mengira politik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan ABATA kepada Persatuan Angkat Berat Perlis yang diwakili oleh Presidennya, Mohd Faiz Musa selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Sirkit Bakat Kebangsaan Sukan Angkat Berat 1/2025 di Dewan Pertubuhan Anak Yatim Mak Teh, Kangar.

Sirkit Bakat Kebangsaan Sukan Angkat Berat 1/2025 yang berlangsung selama lima hari bermula 14 Mei hingga 18 Mei 2025 disertai lebih 250 atlet dari seluruh negara.

Program berkenaan dilihat sebagai usaha pembangunan sukan di peringkat akar umbi yang berpotensi memberi pulangan hasil kepada negeri dan negara pada masa hadapan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE