LONDON, 18 Mei – Crystal Palace mencipta sejarah apabila merangkul trofi utama pertama mereka selepas mencatat kemenangan mengejut 1-0 ke atas juara bertahan, Manchester City, dalam perlawanan akhir Piala FA yang berlangsung pada Sabtu.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Eberechi Eze pada minit ke-16 hasil satu serangan balas pantas daripada pasukan Selhurst Park.
Jaringan itu bermula daripada aksi bijak Jean-Philippe Mateta yang menahan bola sebelum menghantarnya kepada Daniel Muñoz, yang kemudian melorongkan bola kepada Eze untuk penyudah sempurna.
Manchester City hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-36 apabila Tyrick Mitchell menjatuhkan Bernardo Silva di dalam kotak penalti.
Namun, sepakan penalti oleh Omar Marmoush berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Palace, Dean Henderson( bekas pemain Manchester United) yang sebelum itu terselamat daripada kemungkinan kad merah selepas semakan VAR.
City, yang memburu gelaran Piala FA kelapan mereka, terus memberikan tekanan pada separuh masa kedua, namun barisan pertahanan Palace bertahan dengan cemerlang.
Tindakan pantas daripada Daichi Kamada dan Muñoz menggagalkan beberapa percubaan berbahaya, sementara Henderson sekali lagi menjadi wira apabila menafikan sepakan Claudio Echeverri yang terkena pertahanan dan berubah arah.
Kemenangan ini menandakan pencapaian terbesar dalam sejarah Crystal Palace, yang sebelum ini tidak pernah memenangi sebarang trofi utama dalam bola sepak England. - Reuters