TOKYO, 28 Ogos - Sejarah badminton negara tercipta apabila pasangan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dinobatkan sebagai juara dunia di Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo, Jepun hari ini.
Lebih manis, ia hadir beberapa hari sebelum negara menyambut Hari Kebangsaan ke 65 pada 31 Ogos akan datang.
Pada aksi final yang berlangsung di Tokyo Metropolitan Gymnasium itu, Aaron-Wooi Yik menampilkan permainan hebat bagi menempa kemenangan ke atas bekas juara dunia tiga kali dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dengan kemenagan straight set 21-19, 21-14 dalam tempoh 40 minit.
Kejayaan ke atas pasangan yang diberi julukan ‘The Daddies’ itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik melakar sejarah menjadi pemain badminton Malaysia pertama meraih gelaran juara dunia sejak mula dianjurkan pada 1977 di Malmo, Sweden.
Pasangan ranking keenam dunia itu turut muncul beregu Malaysia pertama dalam tempoh 12 tahun mara ke final Kejohanan Badminton Dunia selepas kali terakhir dilakukan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada edisi 2010 di Paris.
Pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam kempen kejohanan dunia adalah beraksi di pentas suku akhir pada edisi 2018 di Nanjing, China.