KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei disaran agar lebih matang mengawal emosi ketika beraksi di pentas antarabangsa, terutamanya apabila berdepan tekanan tinggi.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mendedahkan, pasangan ranking ketiga dunia itu masih bergelut untuk menyatukan persefahaman dan menerima kesilapan masing-masing, faktor yang menjejaskan rentak permainan mereka.
"Jika kita lihat, mereka masih belum dapat menyesuaikan diri dengan satu-satu perkara, seperti yang kita nampak apabila mereka menerika tekanan mereka akan panik.
''Mereka bukan tidak biasa bermain dalam mana-mana perlawanan, namun sukar untuk mengawal rasa panik,'' katanya
Beliau mengulas selepas sesi latihan skuad badminton kebangsaan di ABM, susulan aksi tidak konsisten pasangan tersebut yang terkandas di separuh akhir Terbuka Macau minggu lalu.
Rexy turut mengaitkan situasi itu dengan apa yang pernah dilalui gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah yang berjaya bangkit selepas berjaya membina persefahaman dan sokongan antara satu sama lain.
Beliau berharap Tang Jie dan Ee Wei dapat belajar daripada pengalaman tersebut dan memperbaiki aspek komunikasi serta kestabilan mental mereka, agar terus kekal kompetitif di peringkat dunia.