fb fb fb fb fb

Kelayakan Piala Asia Wanita B-20: Malayan Tigress siap sedia hadapi Iran

Ketua Jurulatih, Cameron Ng (tiga, kiri) bersama skuad Malayan Tigress Bawah 20 (B-20) ketika kem latihan pusat bagi persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia B-20 Wanita 2026 di Padang Latihan Sime Darby, hari ini/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Skuad bola sepak wanita bawah 20 tahun (B-20) negara siap sedia sepenuhnya bagi menghadapi perlawanan pembukaan Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2025 menentang Iran di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam esok.

Ketua jurulatih, Cameron Ng berkata pasukan itu telah melakukan persiapan rapi sepanjang dua minggu lepas, termasuk mengadakan latihan intensif serta pemahaman taktikal yang mendalam.

“Saya rasa persiapan untuk kem ini berjalan dengan baik. Kami membuat persiapan yang baik, pemain telah bersedia dan berlatih bersungguh-sungguh, memberikan 100 peratus dalam sesi latihan, memahami taktik yang ingin kami gunakan.

“Saya rasa dari segi kecergasan dan kecederaan, kami mempunyai masalah yang minimum,” katanya pada sidang media praperlawanan saingan Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 di sini hari ini.

Mengulas mengenai semangat dan motivasi pemain, Cameron tidak menafikan ada rasa gemuruh dalam kalangan pemain, namun menyifatkannya sebagai satu petanda baik biarpun berdepan pasukan yang memiliki ranking lebih tinggi.

“Jadi, sebagai seorang jurulatih, saya juga gugup. Saya yakin pemain juga semakin gementar, tetapi ia mengawal kegelisahan itu. Pemain sudah bersedia untuk bermain.

“Kalau kamu tidak gementar, saya rasa kamu tak kisah. Jadi, bagi saya agak gementar dan mereka teruja untuk bermain. Mereka mahu menunjukkan kemampuan mereka di hadapan penonton tuan rumah,” katanya.

Sementara itu, kapten Malayan Tigress, Nur Dhiyaa Addin Zahari optimis keserasian pemain dalam skuad itu semakin mantap dan mampu diterjemahkan kepada keputusan yang positif.

“Saya boleh katakan ada kombinasi yang baik antara satu sama lain di atas padang,” katanya.

Malaysia yang dijadualkan bertemu Iran pada aksi pertama Kumpulan F akan menentang Jepun pada 8 Ogos (Jumaat) diikuti Guam pada 10 Ogos (Ahad).

Lapan juara kumpulan dan tiga naib juara terbaik akan melangkah ke pusingan akhir Piala Asia Wanita B-20 2026 di Thailand pada 1 hingga 18 April 2026. -BERNAMA

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN