fb fb fb fb fb

KBS muktamadkan empat sukan tambahan SUKMA Selangor 2026

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) ke- 22 dan Para SUKMA Selangor 2026 hari ini/ Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 5 Ogos - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memuktamadkan empat sukan tambahan yang akan dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijadualkan berlangsung di Selangor pada 15 hingga 24 Ogos tahun depan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata catur, e-sukan, kriket dan kabaddi telah diluluskan sebagai sukan tambahan rasmi bagi edisi ke-22 temasya itu.

Manakala, tinju dan sofbol menjadi sukan wajib bermula edisi Selangor.

Keputusan itu diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang diadakan hari ini.

"Mesyuarat telah sebulat suara bersetuju supaya sukan tinju dan sukan sofbol dimasukkan ke dalam senarai sukan wajib bagi temasya Sukan Malaysia memandangkan sukan tersebut merupakan acara yang dipertandingkan di peringkat Sukan Olimpik, dasar ini akan berkuatkuasa mulai SUKMA 2026." katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA, di sini hari ini.

Dengan penambahan ini, SUKMA 2026 akan mempertandingkan keseluruhan 34 jenis sukan, termasuk 30 sukan wajib.

Pada masa sama, Hannah berkata mesyuarat turut menekankan komitmen untuk memperkasa penyertaan wanita dalam temasya akan datang, susulan kekurangan penyertaan atlet dan pegawai wanita di SUKMA 2024.

"Ini adalah permulaan yang sangat penting untuk mengalakkan sukan wanita terus mempunyai peluang untuk dipertandingkan dengan atlet-atlet yang ada walaupun kekurangan pelaburan dan dana daripada semua pihak negeri," katanya.

Beberapa langkah dilaksanakan termasuk penganjuran kursus teknikal dan kejurulatihan wanita, pelantikan ketua kontinjen wanita, penetapan kuota minimum pegawai, sukarelawan dan pegawai teknikal wanita, serta kewajipan kehadiran pegawai wanita untuk pasukan dan acara tertentu.

Dalam perkembangan lain, penyertaan rasmi kontinjen negara Brunei Darussalam turut diluluskan dalam SUKMA 2026 dan Jawatankuasa Khas Teknikal akan menentukan jenis dan jumlah sukan yang bakal disertai.

Manakala bermula edisi ini, pengurusan kontinjen negeri ke Sukan Para SUKMA akan dikendalikan oleh Majlis Sukan Negeri, bukan lagi di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri.

Langkah ini dijangka memperkemas pembangunan atlet para secara lebih tersusun dan berfokus.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN