SHAH ALAM, 5 Ogos - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyeru semua Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk menyediakan dana pembangunan belia dan sukan yang mencukupi bagi tahun hadapan.
Beliau berkata langkah itu penting dalam membantu Exco-exco dalam portfolio berkenaan untuk melaksanakan lebih banyak program pembangunan membabitkan bidang kuasa terbabit.
Jelasnya, bidang tersebut berkemungkinan dianggap kecil namun ia sebenarnya melibatkan masa depan negara dan gaya hidup sihat rakyat.
“Saya nak menyeru semua Menteri Besar (dan Ketua Menteri) bagi minggu-minggu yang akan datang dalam persiapan membentangkan bajet (belanjawan negeri) tahun depan untuk memperuntukkan dana yang mencukupi bagi membantu Exco belia dan sukan negeri masing-masing. Portfolio ini bukan kecil, tetapi (portfolio ini) menjaga aset masa depan (negara) dan (menggalakkan) gaya hidup yang sihat," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA, di sini hari ini.
Hannah berkata sekiranya peruntukan yang disediakan mencukupi, lebih banyak program pembangunan di peringkat negeri dapat dijalankan secara menyeluruh dan menyasarkan golongan belia di akar umbi.
"Kalau mereka dapat bajet yang mencukupi, mereka boleh melaksanakan banyak lagi program pembangunan, tetapi selalunya tidak cukup untuk mereka jadi kita menyeru tolong bantu semua Exco kita," tambah beliau.
Dalam pada itu Hannah turut mempengerusi Mesyuarat Menteri dan Exco mengenai Pembangunan Belia dan Sukan Bil. 1/2025.
Mesyuarat berkenaan bagi menyelaras usaha pembangunan belia dan sukan antara kerajaan persekutuan dan negeri.
Antara perkara yang diberi tumpuan termasuk pelaksanaan program seperti Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Renang, Rakan Muda dan sambutan Hari Sukan Negara, selain menyentuh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi tumpuan kepada pembangunan TVET, belia dan industri sukan secara inklusif.
Turut dibincangkan pelaksanaan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Akta A1602) yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2026.
Pindaan itu menetapkan had umur belia diturunkan kepada bawah 30 tahun, serta mengehadkan tempoh kepimpinan persatuan belia kepada maksimum empat tahun.
Setakat ini, sebanyak 927 pertubuhan belia telah membuat pindaan perlembagaan selaras dengan akta baharu itu dan lebih 54 peratus pemegang jawatan dalam persatuan belia adalah mereka yang berumur bawah 30 tahun.
Dalam mesyuarat sama, Program Pembangunan Sukan Para di peringkat negeri turut diluluskan dan akan bermula Januari 2026 di bawah penyelarasan Majlis Sukan Negeri termasuk penyediaan kontinjen negeri bagi temasya Para SUKMA akan datang.
Sebanyak 27 program belia dan sukan anjuran Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama kerajaan negeri turut dilaporkan berlangsung sempena kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.