fb fb fb fb fb

Wirtz anggap nilai perpindahan 'tidak penting'

Pemain baharu Liverpool, Florian Wirtz/ Foto AFP

LONDON, 5 Ogos - Pemain tengah menyerang, Florian Wirtz menegaskan bahawa nilai perpindahannya yang tinggi 'tidak penting' ketika beliau bersedia memulakan musim sulungnya bersama Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris.

Pemain antarabangsa Jerman berusia 22 tahun itu menyertai Liverpool daripada Bayer Leverkusen dengan bayaran awal sebanyak 100 juta pound (RM562 juta) yang boleh meningkat kepada 116 juta pound (RM652 juta) melalui tambahan prestasi, menjadikannya antara perpindahan termahal dalam sejarah bola sepak British.

Namun, bercakap selepas mencatat aksi memberangsangkan menerusi kemenangan 3-2 ke atas Athletic Bilbao dalam perlawanan persahabatan, Wirtz berkata beliau tidak terbeban dengan tanda harga itu.

“Saya tidak fikir tentang jumlah itu. Saya hanya mahu bermain bola sepak dan berapa banyak wang yang dibayar antara kelab bukan urusan saya,” katanya kepada media.

Wirtz menegaskan bahawa fokus utamanya ialah membantu Liverpool mempertahankan kejuaraan liga, dengan menjanjikan sumbangan dari segi penciptaan peluang serta kerja keras ketika bertahan.

“Cabaran besar sudah tentu untuk menjuarai liga sekali lagi. Saya akan cuba cipta peluang dan bantu rakan sepasukan dalam kedudukan yang lebih baik. Saya juga boleh banyak berlari dan harap dapat beri impak besar kepada pasukan,” jelasnya.

Liverpool dijadual berdepan juara Piala FA, Crystal Palace dalam perlawanan pembuka tirai Perisai Komuniti pada Ahad ini, sebelum memulakan aksi Liga Perdana di Anfield menentang Bournemouth pada 15 Ogos.

Wirtz berkata beliau teruja dengan cabaran baharu di England, dan menyedari perbezaan fizikal serta intensiti liga berbanding Bundesliga.

“Ia lebih fizikal, lebih pantas, dan semua pemain sangat kuat. Tapi saya percaya ini akan bantu saya jadi lebih baik. Saya amat menantikannya.”

Setakat ini, Liverpool sudah membelanjakan lebih daripada 250 juta pound (RM1.4 bilion) dalam jendela perpindahan dengan menandatangani pemain baharu termasuk Wirtz, Hugo Ekitike, Milos Kerkez, Jeremie Frimpong, yang juga dari Leverkusen dan Giorgi Mamardashvili. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN