fb fb fb fb fb

United, Newcastle bersaing dapatkan Sesko

Penyerang RB Leipzig, Benjamin Sesko diintai Manchester United dan Newcastle United/ Foto AFP

BERLIN, 5 Ogos - Dua kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United dan Newcastle United, kini sedang bersaing hebat untuk mendapatkan khidmat penyerang RB Leipzig, Benjamin Sesko, lapor akhbar Jerman Bild.

Menurut laporan itu, Manchester United telah mengemukakan bidaan rasmi sebanyak 85 juta euro pada Selasa untuk pemain antarabangsa Slovenia itu, manakala Newcastle sebelum ini telah menawarkan 80 juta euro, yang kemudiannya dinaikkan kepada jumlah yang sama termasuk insentif bonus.

Sesko, 22, menjaringkan 13 gol dan mencipta lima bantuan jaringan dalam kempen Bundesliga musim lalu, walaupun Leipzig gagal menamatkan saingan dalam kelompok teratas. Di peringkat antarabangsa, beliau telah menjaringkan 16 gol dalam 41 penampilan bersama skuad kebangsaan Slovenia.

Penyerang itu tidak diturunkan dalam aksi persahabatan menentang Atalanta pada Sabtu lalu, yang dimenangi kelab Serie A itu 2-1.

Perkara ini disahkan oleh Pengarah Sukan Leipzig, Marcel Schaefer, yang menyatakan Sesko tidak akan bermain kerana terdapat minat yang sangat konkrit daripada beberapa kelab.

United kini sedang giat membina semula pasukan selepas mencatat kempen liga terburuk dalam tempoh 51 tahun, serta kekalahan dalam final Liga Europa kepada Tottenham.

Selepas dikritik kerana ketumpulan di bahagian serangan, United telah membawa masuk Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo.

Ketibaan Sesko bakal memberi tekanan besar kepada penyerang Denmark, Rasmus Hojlund, yang kini dikaitkan dengan perpindahan keluar.

Laporan menyebut Hojlund mungkin dijual dengan harga sekitar 35 juta euro, jauh lebih rendah daripada jumlah 75 juta euro yang dibayar untuk mendapatkannya daripada Atalanta pada 2023.

Sementara itu, Newcastle yang layak ke Liga Juara-Juara selepas menamatkan saingan di tangga kelima musim lalu, dilaporkan sedang berusaha mencari pengganti kepada Alexander Isak, yang menjadi sasaran perpindahan oleh juara bertahan, Liverpool. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN