KUALA LUMPUR, 3 Oktober - Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia menerima ‘durian runtuh’ atas kemenangan pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini masing-masing berjumlah RM150,000 dan RM100,000.
Insentif berkenaan diberikan 100PLUS dalam satu majlis diadakan di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.
Pengarah Pemasaran F&N Beverages Marketing Sdn Bhd Leong Wai Yin berkata pemberian itu adalah bagi menyatakan kekaguman terhadap kesungguhan wakil negara berjuang bermati-matian untuk membawa pulang pingat untuk Malaysia.
“Ini merupakan insentif istimewa yang 100PLUS berikan kepada duta jenama kita. Ini selain dari apa yang telah kami berikan kepada mereka untuk fi sebagai duta jenama kerana mereka telah memperjuangkan semua semangat yang ditunjukkan,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Aaron-Wooi Yik bersyukur atas insentif diterima dan bercadang untuk mengadakan makan besar bersama barisan kejurulatihan dan keluarga yang sentiasa menyokong mereka dalam susah dan senang.
“Kita dah dengan 100PLUS selama lebih lima tahun dan kita punya hubungan pun masih berjalan. Jadi, sebagai duta, kami menghargainya dan akan terus berjuang sehingga kami mendapat lebih insentif,” kata Aaron.- BERNAMA