KUALA LUMPUR, 3 Oktober - Pelumba berpengalaman Terengganu Cycling Team (TSG) Mohd Harrif Saleh mengakui dirinya terkilan dan tidak mampu mengungkapkan kata-kata selepas tersingkir daripada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 peringkat keempat semalam.
Mohd Harrif yang beraksi kali ke-15 di pentas LTdL terpaksa akur dengan ketetapan itu selepas menjadi antara 18 pelumba tidak menamatkan perlumbaan dalam had masa ditetapkan (OTL) pada perlumbaan dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong sejauh 131.2 kilometer (km).
Beliau yang turut dikenali sebagai Mamat berkata dia sudah berkayuh sehabis baik pada peringkat keempat, namun belum pulih sepenuhnya daripada pendakian mencabar 'Queen Stage' (Taiping-Cameron Highlands) yang melelahkan.
"Memang saya berjuang juga untuk melawan dengan masa ditetapkan, namun pelumba WorldTeam sangat laju, kelmarin pula baru habis pendakian di Cameron Highlands, diikuti Gap (Bukit Fraser) dan semalam ada bukit lagi.
"Sudah tentu saya berasa sedih tetapi kena terima hakikat. Ini kali pertama (OTL) berlaku kepada saya dalam LTdL, sebelum ini 'sticky bottle' atau terlibat kemalangan sahaja," kata pelumba berusia 36 tahun itu.
Senarai 18 pelumba tersingkir itu turut membabitkan juara bertahan LTdL Simon Carr dari EF Education-Easypost serta empat pelumba negara iaitu Muhammad Fahmi Khairul dan Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil (Malaysia Pro Cycling), Zulhelmi Zainal (Nusantara) serta Abdul Azim Aliyas (skuad kebangsaan).
Mamat pernah meraih tiga kemenangan peringkat perlumbaan LTdL masing-masing satu pada edisi 2019 dan dua pada 2020.
Peringkat kelima hari ini bermula di Kuala Lumpur dan berakhir di Melaka sejauh 167.3km, menawarkan tiga zon pendakian di Ampang, Bukit Hantu dan Bukit Mantin.- BERNAMA