PARIS, 8 Ogos – Sembilan pemain Paris St Germain (PSG) yang merangkul treble musim lalu tersenarai dalam pencalonan Ballon d’Or tahun ini, bersama jurulatih kelab itu, Luis Enrique, menurut senarai yang diumumkan oleh France Football pada Khamis.
Ousmane Dembele, Gianluigi Donnarumma, Desire Doue, Achraf Hakimi, Khvicha Kvaratskhelia, Nuno Mendes, Joao Neves, Fabian Ruiz dan Vitinha merupakan antara 30 pemain yang dicalonkan untuk anugerah berprestij tersebut.
Dembele cemerlang dengan 35 gol dan 16 bantuan jaringan dalam semua kejohanan, membantu PSG menjuarai Ligue 1, Piala Perancis dan Liga Juara-Juara, selain muncul naib juara Piala Dunia Kelab selepas tewas kepada Chelsea.
Antara nama lain dalam senarai termasuk pemain Barcelona, Raphinha (34 gol, 25 umpanan jaringan), penyerang Liverpool, Mohamed Salah (34 gol, 23 umpanan jaringan) yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Liga Perdana, serta penyerang Manchester City, Erling Haaland (34 gol, lima umpanan jaringan).
Pemain muda Barcelona, Lamine Yamal turut tersenarai, dengan pemain sayap berusia 18 tahun itu juga dicalonkan bagi Trofi Kopa untuk pemain bawah 21 tahun terbaik, anugerah yang dimenanginya tahun lalu.
Bagi kategori wanita, lima pemain England disenaraikan susulan kejayaan mereka menjuarai Euro, termasuk penjaga gol Hannah Hampton, Lucy Bronze, Alessia Russo, Chloe Kelly dan Leah Williamson.-REUTERS