KELANA JAYA, 15 Mei - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)mengumumkan senarai 38 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya sebagai persediaan menghadapi dua perlawanan antarabangsa menentang Cape Verde dan Vietnam.
Daripada jumlah tersebut, 25 pemain merupakan muka lama yang pernah beraksi menentang Nepal dalam Pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac lalu.
Manakala selebihnya termasuk beberapa muka baharu seperti Gabriel Felipe Arrocha, pemain pertahanan kelab Sepanyol, CD Tenerife B.
Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, menjelaskan latihan pusat kali ini akan dibahagikan kepada tiga fasa bermula 18 Mei ini.
"Fasa pertama adalah permulaan kepada persiapan kita untuk perlawanan yang agak penting menentang Vietnam, dan fasa kedua akan diumumkan pada 25 Mei, di mana akan terdapat perubahan besar dalam skuad yang anda lihat di atas,
Kemudian, kita akan masuk ke fasa akhir iaitu fasa ketiga pada awal Jun, dan sekali lagi, itu adalah pemilihan terakhir untuk perlawanan penting kita menentang Vietnam. Jadi, mengapa kita ada tiga fasa ia agak unik, dan saya rasa itu mengambil kira situasi yang kita hadapi sebagai sebuah pasukan kebangsaan", katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Tambahnya, struktur tiga fasa itu disusun berdasarkan keperluan pasukan kebangsaan dalam membentuk skuad yang mantap dan kompetitif menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026.
Malaysia akan berdepan pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde, dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang dijadual berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada 29 Mei.
Selain akan menentang lawan sama bagi perlawanan latihan secara tertutup tanpa penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Jun.
Ia sebahagian persiapan Harimau Malaya menjelang perlawanan kedua kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Arab Saudi menentang Vietnam pada 10 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil.