KUALA LUMPUR, 3 Januari- Senarai akhir 26 pemain skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon yang akan beraksi pada Piala Asia 2023 di Doha, Qatar bermula 12 Januari hingga 10 Februari ini diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.
Kesemua 26 pemain itu adalah senarai yang dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sejak 26 Disember lepas.
Ia sekali gus menyaksikan Pan Gon tidak membuat sebarang perubahan menjelang kejohanan berprestij itu.
Dalam senarai itu tiga merupakan penjaga gol, sembilan pemain pertahanan, enam pemain tengah dan lapan penyerang termasuk pemain naturalisasi terbaharu Romel Morales.
Malaysia, pasukan di kedudukan ke-130 dunia diundi dalam Kumpulan E bersama Jordan (87), Bahrain (86) dan juara dua kali Korea Selatan yang merupakan pasukan ke-23 dunia.
Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia akan memulakan saingan kumpulan menentang Jordan di Stadium Al Janoub pada 15 Januari (1.30 pagi 16 Januari waktu Malaysia).
Kemudian menentang Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad (20 Januari pukul 10.30 malam waktu Malaysia) dan aksi terakhir bertemu dengan Korea Selatan di Stadium Al Janoub (25 Januari pukul 7.30 malam waktu Malaysia).
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan FAM, sebagai aksi pemanas badan Skuad Harimau Malaya yang tiba di Doha, Qatar pada 1 Januari lalu akan mengadakan satu perlawanan persahabatan menentang Syria pada 8 Januari depan.
"Ini merupakan kali keempat Malaysia berjaya layak beraksi di pentas Piala Asia selepas 18 edisi yang mana Malaysia layak secara merit pada edisi 1976 dan 1980, serta layak automatik selaku tuan rumah bersama pada 2007.
"Pada ketiga-tiga edisi tersebut, Malaysia kandas di peringkat kumpulan," kata kenyataan itu.
Berikut senarai akhir 26 pemain skuad Harimau Malaya ke Piala Asia 2023 di Doha, Qatar;
1. MUHAMMAD AZRI AB GHANI: Penjaga Gol
2. AHMAD SYIHAN HAZMI MOHAMED: Penjaga Gol
3. SIKH IZHAN NAZREL SIKH AZMAN: Penjaga Gol
4. MATTHEW DAVIES: Pertahanan
5. SHAHRUL MOHD SAAD: Pertahanan
6. DANIEL SANG TING: Pertahanan
7. MUHAMMAD SYAHMI SAFARI: Pertahanan
8. DOMINIC TAN: Pertahanan
9. JUNIOR ELDSTAL: Pertahanan
10. DION-JOHAN COOLS: Pertahanan
11. LA’VERE LAWRENCE CORBIN-ONG: Pertahanan
12. AHMAD KHUZAIMI PIEE: Pertahanan
13. STUART JOHN WILKIN: Tengah
14. ENDRICK DOS SANTOS: Tengah
15. MOHAMED SYAMER KUTTY ABBA: Tengah
16. BRENDAN GAN: Tengah
17. MOHD AFIQ FAZAIL: Tengah
18. NATXO INSA: Tengah
19. MOHAMAD FAISAL ABDUL HALIM: Penyerang
20. DARREN LOK: Penyerang
21. MUHAMMAD SAFAWI RASID: Penyerang
22. ARIF AIMAN MOHD HANAPI: Penyerang
23. MOHAMADOU SUMAREH: Penyerang
24. PAULO JOSUE: Penyerang
25. MUHAMMAD AKHYAR ABDUL RASHID: Penyerang
26. ROMEL MORALES: Penyerang