ABU DHABI, 2 Januari- Hong Kong berjaya menewaskan China buat pertama kali dalam tempoh 29 tahun pada perlawanan persahabatan di Stadium Baniyas di sini pada Isnin.
Dua jaringan menerusi penyerang berbisa Poon Pui-hin dalam tempoh lapan minit pada babak kedua membolehkan Hong Kong meraih tonik berharga sebelum memulakan cabaran pada Kejohanan Piala Asia di Qatar pertengahan bulan ini.
Pada perlawanan tersebut, China terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan Tan Long pada minit ke-9.
Sementara itu, Ketua jurulatih Hong Kong, Jorn Andersen memuji semangat juang yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya pada perlawanan tersebut.
"Para pemain melakukannya dengan baik.
"Saya tidak perlu memotivasikan para pemain menentang China", kata Andersen.
"Perkara paling positif yang saya dapat lihat adalah permainan pantas yang ditunjukkan pemain dan mencipta peluang bagi menghasilkan jaringan.
"Kita telah berjaya memperbaiki kelemahan tersebut", tambah Andersen lagi.
Pada Piala Asia 2023, Hong Kong diletakkan di dalam kumpulan C bersama-sama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iran dan Palestin. Manakala China pula diletakkan di dalam kumpulan A bersama-sama tuan rumah Qatar, Lubnan dan Tajikistan.-RTHK.HK