fb fb fb fb fb

Pecah rekod kebangsaan, Queenie tidak terburu-buru

Ratu lempar cakera negara, Queenie Ting Kung Ni

KUALA LUMPUR, 4 Januari- Ratu lempar cakera negara, Queenie Ting Kung Ni tidak mahu terburu- buru untuk memecahkan rekod kebangsaan miliknya tanpa sebarang persediaan rapi.

Atlet berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan hamstring semasa menjalani sesi latihan intensif di Chengdu, beberapa minggu menjelang Sukan Asia Hangzhou pada September 2023.

Situasi itu membuatkan Queenie terlepas untuk memperbaharui catatan kebangsaan 52.36 meter yang diciptanya di Grand Prix Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada Disember 2022.

Queenie kini sedang menanti kalendar 2024 daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk perancangan tahun ini termasuk latihan intensif di luar negara.

Buat masa ini, dia telah mengesahkan penyertaan dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 Indonesia dari 25 Jun hingga 6 Julai nanti.

Selain itu, antara kejohanan yang mungkin disertai atlet-atlet olahraga yang lain adalah Kejohanan Dalam Dewan Asia 2024 di Tehran, Iran dijadualkan berlangsung 17 hingga 19 Februari nanti.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD