fb fb fb fb fb

20 pasukan sertai Liga Boling RTM

Pertandingan berkenaan akan berakhir pada bulan Oktober ini.

KUALA LUMPUR, 1 Mac- Buat julung kalinya, Kelab Sukan dan Rekreasi Radio Televisyen Malaysia (RTM) Angkasapuri mengadakan pertandingan Liga Boling RTM, Piala Pusingan Ketua Pengarah Penyiaran 2024 di Endah Parade, Sri Petaling.

Menurut Pengerusi, Kelab Sukan dan Rekreasi RTM Angkasapuri, Putri Juliana Yaacob, 20 pasukan terdiri daripada kakitangan RTM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dan pesara menyertai liga tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Operasi Penyiaran) berkata, ia diadakan berdasarkan sambutan hebat diterima oleh kakitangan berkenaan.

"Sebelum ini kita banyak buat kejohanan iaitu terbuka RTM dan macam-macam lagi. Kita juga jemput media-media semua, tapi ini adalah liga. Liga antara orang kata merebut Piala Pusingan Ketua Pengarah Penyiaran 2024. Penglibatannya tahun ini lebih kepada kakitangan RTM di Angkasapuri, tapi kemungkinan harapan saya kalau boleh tahun-tahun hadapan kita akan buka untuk kakitangan RTM di semua negeri," kata Putri Juliana kepada pemberita di sini.

Bekas pemuzik RTM, Datuk Johari Salleh, 84 tahun turut menyertai kejohanan tersebut.

"Saya selepas melakukan pembedahan 'bypass' pada bulan Julai tahun lalu, dua bulan selepas pembedahan saya terus bermain boling, sebab boling adalah salah satu sukan yang diminati saya sejak bersama-sama RTM lagi," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Boling RTM, Meor Mohammad Noriman Abu Hassan Shaari berkata menerusi pertandingan berkenaan, ia dapat memberi pengalaman dan mencungkil bakat-bakat daripada peserta baru.

Pertandingan berkenaan akan berakhir pada bulan Oktober ini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM