SHAH ALAM, 4 September - Aksi enam regu muaythai dan satu perlawanan Pro-Boxing bakal menggamatkan Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 9 September ini dalam kejohanan RF3 Kuda Merah Super Champion.
Presiden Kuda Merah, Rosli Yaacob berkata, sebanyak 14 peninju dari dalam dan luar negara akan berentap dalam penganjuran ke-77 Kelab Muaythai Kuda Merah, dengan sasaran 7,000 penonton hadir.
Ujarnya buat kali pertama kejohanan ini akan menggabungkan tinju pro dan juga Muay Thai dalam di dalam satu acara.
“Buat pertama kali kita gabungkan tinju pro dalam kejohanan ini. Peninju GGK Sungai Udang, Jemis Wong akan menentang wakil PASKAU TUDM, Sheikh. Kalau berjaya, format ini akan jadi tradisi dalam kejohanan seterusnya,” katanya.
Antara negara yang akan mengambil bahagian termasuk Brazil, Kemboja, Iran dan Thailand.
Antara tumpuan utama ialah pertemuan peninju negara, Izat Zaki menentang wakil Kemboja serta bintang wanita, Nur Amisha, yang bakal ditentang peninju Brazil, Milena Calazans.
Kejohanan kali ini turut menampilkan kemunculan istimewa lagenda Thai Fight, Saenchai, buat julung kali.
Antara perlawanan tumpuan lain, Khairy KL7 vs Tuah Black Owl, Arep Syamil (Fitnesslab) vs Sajjad (Iraq) dan Izat Zaki (Aymas Pallas Phet) vs Long Achert (dari Kemboja).
Sementara itu, Nur Amisha, yang pernah mencipta sejarah muncul juara di Stadium Rajadamnern, Thailand, mengakui cabaran menentang Calazans cukup sengit.
“Kali ini lawan dari Brazil, memang satu cabaran untuk saya. Tapi saya dah kaji kelebihan dan kelemahannya. Tambah pula keluarga dan kawan-kawan turun bagi sokongan, itu jadi semangat untuk saya,” katanya.
Amisha juga menganggap ia sebagai persiapan ‘panas badan’ untuk aksi kali ini.
Dalam pada itu, peninju lelaki, Khairy Arfan, menegaskan dirinya kini berada pada tahap terbaik.
“Lepas habis perlawanan Asian Muaythai Games minggu lepas, recovery dah settle. Sekarang saya berlatih 100 peratus, betul-betul bersedia untuk perlawanan Selasa minggu depan nanti,” jelasnya.
