fb fb fb fb fb

10 cedera, 90 ditahan insiden pergaduhan penyokong di stadium

Foto AFP

Buenos Aires, 21 Ogos - Sekurang-kurangnya 10 cedera dan 90 lagi ditahan pada Rabu selepas pergaduhan tercetus antara penyokong kelab Argentina, Independiente dan pelawat dari Chile, Universidad de Chile.

Insiden berlaku semasa perlawanan Copa Sudamericana yang berlangsung di Stadium Libertadores de América.

Menurut kenyataan pihak kelab dan polis, kekecohan tercetus ketika aksi pusingan kedua peringkat 16 pasukan terbaik, yang terpaksa ditangguh sejurus selepas separuh masa kedua bermula sebelum dibatal sepenuhnya.

Antara objek yang dilempar oleh penyokong termasuk bom kilat.

Dalam detik cemas dan huru-hara, seorang penyokong pasukan pelawat dari Chile dilapor terpaksa terjun dari tempat duduk penonton untuk melarikan diri daripada serangan penyokong tuan rumah selepas terkepung.

Menurut wartawan AFP yang berada di lokasi, penyokong tuan rumah turut menyerbu kawasan penyokong lawan, memukul dan menanggalkan pakaian beberapa daripada mereka.

Keganasan mula tercetus sewaktu rehat separuh masa apabila penyokong Universidad de Chile dilapor melempar batu, kayu, botol dan kerusi ke arah bahagian tempat duduk penyokong tuan rumah.

“Seramai 90 individu ditahan di luar stadium kerana cuba mencetuskan kekacauan, dan mereka telah dibawa ke balai polis,” menurut Jurucakap Kementerian Keselamatan Argentina.

Perlawanan yang ketika itu terikat 1-1 dihentikan pada minit ke-48 sebelum dibatalkan.

Universidad de Chile sebelum itu menang 1-0 dalam perlawanan pertama di Santiago. - AFP

MOHD NORIZWAN BIN SAMAN