
MELBOURNE, 25 Januari – Pemain Amerika Syarikat, Tommy Paul, menyifatkan gaya permainan Carlos Alcaraz sebagai “melemas dan menekan”, selepas tewas kepada pemain nombor satu dunia itu dalam straight set pada pusingan keempat Terbuka Australia di Melbourne Park, Ahad.
- Tommy Paul berkata gaya permainan Alcaraz melemas dan menekan lawan sehingga susah atur rentak permainan.
- Kemenangan Alcaraz ke suku akhir Terbuka Australia buat kali ketiga berturut turut.
- Aryna Sabalenka mara ke suku akhir wanita selepas menewaskan Victoria Mboko.
- Sabalenka kekal pro-keamanan dan menghormati hak individu bersuara mengenai isu sosial.
Paul, yang pernah bertemu Alcaraz sebanyak empat kali sebelum ini, berkata pemain Sepanyol berkenaan memberi tekanan berterusan sehingga menyukarkan lawan untuk mengatur permainan sendiri.
“Dia sentiasa menekan dan membuatkan anda tergesa-gesa. Gaya permainannya benar-benar melemaskan,” kata Paul selepas kekalahan 7-6(6), 6-4, 7-5 di Rod Laver Arena.
Kemenangan tersebut membolehkan Alcaraz mara ke suku akhir Terbuka Australia buat kali ketiga berturut-turut, dengan pemain berusia 22 tahun itu mengakui berpuas hati dapat mengharungi perlawanan mencabar menjelang pusingan lapan terbaik.
Sementara itu, dalam saingan wanita, pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan remaja Kanada, Victoria Mboko 6-1, 7-6(1).
Bagi Mboko, walaupun tersingkir, penampilan sulungnya di undian utama Terbuka Australia berakhir dengan reputasi yang semakin meningkat, lebih-lebih lagi selepas beraksi di gelanggang utama Grand Slam buat kali pertama.
Dalam nada lebih santai, Sabalenka turut berseloroh apabila ditanya mengenai kemungkinan beraksi dalam acara beregu campuran bersama Novak Djokovic.
“Saya masih menunggu. Dia hanya bertanya secara sepintas lalu di Terbuka AS tahun lalu. Saya masih menunggu mesej panjang daripadanya mengatakan saya rakan gandingan impiannya,” katanya sambil ketawa.
Sabalenka turut mencuri tumpuan apabila mengulas kritikan pemain Ukraine, Oleksandra Oliynykova terhadap kerjasama jenama fesyen dengan atlet dari Belarus.
Sabalenka menegaskan setiap individu berhak menyuarakan pandangan masing-masing, namun beliau kekal dengan pendirian prokeamanan.
“Saya menghormati setiap orang yang mahu menggunakan platform mereka untuk bersuara. Saya sudah jelaskan sebelum ini bahawa saya pro-keamanan dan pendirian itu tidak berubah,” katanya.