
KUALA LUMPUR, 14 Januari – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kini sedang menyiasat lebih 560 syarikat yang disyaki terlibat dalam kartel tipuan bida bagi perolehan awam, melibatkan tender bernilai hampir RM2.7 bilion.
- MyCC meneruskan siasatan kartel melalui unit khas yang ditubuhkan di bawah Belanjawan 2026.
- Setakat ini 13 kes melibatkan 566 syarikat sedang disiasat berkaitan kartel tipuan bida.
- Sebanyak 26 syarikat telah dikenakan penalti kewangan berjumlah RM97 juta.
- MyCC mengeluarkan lima Keputusan Cadangan berkaitan kartel bagi pelbagai sektor dan tender.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Datuk Iskandar Ismail berkata siasatan itu akan diteruskan melalui unit khas yang ditubuhkan di bawah Belanjawan 2026.
“Walaupun nilai tender yang disiasat besar, jumlah itu masih kecil berbanding keseluruhan perbelanjaan negara bagi perolehan barangan dan perkhidmatan. Namun, siasatan tetap diteruskan kerana ini adalah mandat yang diberikan oleh kerajaan.”
“Setakat ini, terdapat 13 kes melibatkan 566 syarikat. Peruntukan tambahan ini membolehkan kami meningkatkan ketangkasan dan keberkesanan penyiasatan,” katanya kepada pemberita RTM, di sini hari ini.
Jelas beliau, sebanyak 26 syarikat telah dikenakan penalti kewangan berjumlah RM97 juta kerana terlibat dalam kartel tender.
Daripada jumlah itu, lapan syarikat dikenakan penalti sebanyak RM92.7 juta, manakala tiga syarikat lain dikenakan penalti melebihi RM2 juta.
MyCC juga telah mengeluarkan lima Keputusan Cadangan berkaitan kartel, termasuk perkhidmatan umrah, perkhidmatan taska di Kuala Lumpur, perkhidmatan taska di Kelantan, serta tender melibatkan enam syarikat atas dakwaan kartel tipuan bida, termasuk tender di penjara Kluang.