PERAK, 19 November- Kesakitan lutut bukan halangan kepada dua warga emas untuk menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Abdul Rahim Ahmad dan Jeleha Abu Bakar masing-masing hadir ke pusat pengundian di SK Tanah Hitam, Kampung Ulu Chepor ditemani anak-anak mereka.
Kedua-duanya sanggup melupakan seketika ketidakmampuan berdiri lama dan bergerak jauh dari kediaman semata-mata untuk mengundi.
(Jeleha Abu Bakar)
"Tanggungjawab kita lima tahun sekali sahaja. Kita hendak jaga keamanan negara dan kestabilan ekonomi untuk anak cucu kita. Macam pak cik ini sudah tua, dah 70 lebih umur tidak kisah sangat, tapi tetap jalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia, makan pun gigi sudah tiada, generasi muda dan anak cucu yang akan datang, segala bantuan untuk mereka harus dilihat oleh pihak yang bakal memerintah nanti seperti bantuan persekolahan, perumahan, pekerjaan, itu yang pak cik minta sangat," kata Abdul Rahim Ahmad.
"Makcik datang mengundi hari ini makcik berasa seronok tengok orang ramai datang jalankan tanggungjawab untuk negara. Makcik walaupun uzur dan dan sakit macam-macam, datang sini bukan susah pun, datang untuk pangkah lepas itu makcik balik, tiada la susah sangat," kata Jeleha Abu bakar kepada media.
Di Parlimen Tambun P063, terdapat lebih 2.03 juta daftar pemilih di negeri ini membabitkan 851 pusat pengundian.
Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri turut melakukan tinjauan di sekolah berkenaan.